Skip Ribbon Commands
Skip to main content

BKISHHB > What's On > News > News Item
MAJLIS DOA KESYUKURAN DAN PENYAMPAIAN HADIAH PERTANDINGAN MENCIPTA LOGO BALAI KHAZANAH ISLAM SULTAN HAJI HASSANAL BOLKIAH

Published On : Wednesday, 10 December 2025



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 Disember: Siti Kamilah binti Haji Mohd Azrae telah dipilih sebagai pemenang pertandingan mencipta logo Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Majlis doa kesyukuran dan penyampai hadiah pertandingan kepada para pemenang diadakan petang tadi di Dewan Auditorium Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah Yang Mulia Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali Pemangku Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam) Jabatan Perdana Menteri.

Pemenang pertandingan mencipta logo Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah Siti Kamilah menerima hadiah wang tunai sebanyak BND$3000 Dollar serta sijil penghargaan.

Manakala, Awang Mohammad Aliff bin Haji Awang Madial, Pengiran Ibarahim bin Pengiran Haji Bakar, Awang Omar Danny bin Haji Timbang dan Awang Abdul Ajihis bin Haji Terawih masing-masing menerima hadiah saguhati wang tunai sebanyak BND$500 Dollar serta sijil penghargaan.

Sebelumnya majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat oleh Pegawai Arkib Skim Perantisan Perkhidmatan Awam (SkiPPA), Awang Muhammad Nazirul Helmi bin Muhammad Saidi Nazmi dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Dayang Halimahtusa'adiah binti Haji Hishamuddin, Pemangku Timbalan Pengarah Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi Majlis.

Dayang Halimahtusa'adiah dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa penyertaan orang ramai bagi pertandingan ini adalah sangat menggalakkan, dimana sebanyak 93 reka cipta telah diterima.

“Pertandingan ini adalah salah satu inisiatif penting yang dirangka selaras dengan pendekatan whole of nation, untuk mengalakan penyertaan aktif masyarakat dalam memberikan sumbangan kreatif dalam penciptaan logo rasmi yang dapat melambangkan identiti dan keunikannya sebagai sebuah Pusat Penyelidikan Khazanah Islam yang unggul di negara ini, termasuklah di peringkat serantau dan Antarabangsa," jelas beliau petang tadi.

“Penganjuran pertandingan ini bukan saja bermatlamat untuk menghasilkan logo baharu atau simbolik bagi Balai Khazanah Islam. Ia adalah juga merupakan manifestasi keterlibatan orang ramai dalam menyokong perkembangan hala tuju intelektual, budaya dan peradaban Islam di negara ini,"

“Sebuah Jawatankuasa Penilaian Pertandingan Mencipta Logo telah ditubuhkan bagi menilai serta memilih pemenang pertandingan. Pelbagai rekaan logo diterima, yang bukan sahaja menampilkan kreativiti, bahkan menunjukkan kefahaman mendalam para peserta terhadap peranan dan fungsi Balai Khazanah Islam,"

“Reka cipta logo yang terpilih sebagai pemenang telah dibentangkan kepada Mesyuarat Lembaga Penasihat BKISHHB terlebih dahulu bagi tujuan pengesahan," tambahnya.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang dan pemenang-pemenang sagu hati dan diikuti dengan penyampaian sijil-sijil penghargaan kepada kesemua 32 peserta yang menyertai pertandingan dan kepada Jawatankuasa Penilaian Pertandingan Mencipta Logo Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.